Tuesday, November 1, 2011

Walaupun Di Kedudukan Undian Tertinggi, Mafa Tak Puas Hati




Walaupun mendapat undian tertinggi, tetapi Mafarikha Md. Akhir atau Mafa tidak berpuas hati dengan persembahannya pada konsert Vokal malam kelmarin. Menurut Mafa, dia tidak cukup masa untuk berlatih kerana berlaku perubahan pada susunan muzik pada saat-saat akhir.
“Pada mulanya, lagu ‘Kotak Hati’ itu susunan muziknya bukan macam malam ini (kelmarin). Semalam (Sabtu) baru buat perubahan pada susunan muzik. Sebab itu saya rasa tidak cukup masa untuk berlatih. Nasib baik juri suka dan beri komen yang baik. Cuma saya tidak puas hati sebab rasa macam boleh buat lebih baik jika punya masa,” ujar Mafa.
Selain itu, peserta berasal dari Perak ini juga mengakui yang dia sebenarnya berasa terkejut apabila diumumkan sebagai peserta yang mendapat undian tertinggi.
“Saya ingat Asmidar atau Irsa yang akan dapat markah tertinggi. Vokal mereka memang hebat dan saya anggap mereka adalah saingan terbesar. Mungkin minggu ini undian berpihak kepada saya, minggu depan belum tahu lagi. Tapi ini tidak buatkan saya selesa. Masih ada yang perlu diperbaiki,”ujar Mafa yang masih belum tahu bagaimana corak persembahannya pada minggu hadapan.
Sementara itu, sebagai juri tetap, Erra Fazira sempat berpesan kepada Mafa supaya tidak leka dengan kedudukannya sekarang ini. Jelas Erra, walaupun Mafa memberikan persembahan terbaik pada malam kelmarin, tetapi itu tidak bermakna dia boleh senang hati kerana peserta lain boleh memintas pada bila-bila masa.
“Vokal Mafa memang bagus. Tapi ada peserta lain yang juga bagus. Bagi saya, Irsa adalah saingan rapat Mafa. Kalau Mafa leka dan tidak cuba majukan diri, tidak mustahil peserta lain akan pintas dia pada peringkat seterusnya. Nasihat saya, Mafa jangan mudah rasa selesa sebab dia sebenarnya masih belum selamat. Masih terlalu awal untuk buat jangkaan,” ujar Erra.

No comments:

Post a Comment