Sunday, October 23, 2011

Artis Youtube, Greyson Chance Gemparkan AIM 18?





Bahang Anugerah Industri Muzik ke-18 (AIM 18) kian terasa. Selepas mengumumkan senarai pencalonan akhir pada bulan lepas, Persatuan Industri Rakaman Malaysia (RIM), hari ini mengumumkan barisan penyampai anugerah, pengacara serta artis yang akan membuat persembahan pada malam anugerah yang akan berlangsung pada 12 November 2011.
Semua pemilihan ini merupakan perbincangan bersama antara pihak jawatankuasa AIM serta rakan penyiaran, Astro Ria. Seperti khabar angin yang diperkatakan sebelum ini, pengacara serta pelawak, AC Mizal dan Zizan Razak sah menjadi hos pada malam berprestij tersebut.
“Ini kali pertama saya mengacarakan AIM. Sejujurnya saya terkejut apabila anugerah yang berprestij ini boleh panggil orang yang masih ‘hijau’ seperti saya untuk menjadi pengacara. Saya rasa teruja, namun pada masa yang sama berdebar dan takut sebab anugerah ini bersabit dengan muzik. Saya masih baru dalam bidang ini dan banyak benda yang perlu saya kaji.
“Saya turut gembira kerana digandingkan dengan AC yang juga merupakan idola saya selama ini. Bagi saya, ini satu perkara yang tak patut saya lepaskan dan sia-siakan. Saya akan cuba buat yang terbaik untuk menghiburkan penonton nanti,” ujar Zizan yang pernah mengacarakan ABPBH 2010 dan FFM 23 sebelum ini.
Bertemakan “Bergemerlapan dan Glamor”, AIM 18 bakal menggegarkan pentas Stadium Putra Bukit Jalil dengan persembahan mantap dari artis-artis terkemuka tanahair seperti Yuna, Mawi dan Akhil Hayy, Hafiz, Stacy, Meet Uncle Hussain dan Hazama, 3 Suara, Ella, Salma dan Nashrin. Tidak ketinggalan, kumpulan 6ixth Sense, Azlan & The Typewriter, Rahmat Mega, Zamani Slam, Aly AXLs dan juga Ezad Exists.
Lebih istimewa, selepas 10 tahun tiada artis antarabangsa yang membuat persembahan di AIM, di mana kali terakhir kumpulan rock terkenal, Scorpion membuat persembahan, kini AIM 18 menampilkan seorang artis muda dari Amerika Syarikat, Greyson Chance untuk memeriahkan lagi AIM pada kali ini.
Greyson akan membuat persembahan bersama penyanyi Youtube, Najwa Latiff dalam segmen persembahan khas. Ia merupakan usahasama yang julung kalinya antara kedua-dua penyanyi muda ini dan merupakan simbolik tentang pengaruh revolusi digital muzik.
“AIM semestinya rancangan anugerah yang dinanti-nantikan semua setiap tahun dan pihak RIM sentiasa meneruskan usaha untuk mempersembahkan barisan artis terunggul untuk rakyat Malaysia. Industri muzik sudah berubah di mana kami nampak revolusi muzik dari kaset, cakera padat, DVD, digital sehinggalah ke Youtube. Kami fikir siapa artis antarabangsa yang relevan untuk dibawa, dan setelah perbincangan, kami setuju untuk bawa Greyson.
“Dia baru berusia 14 tahun namun lagunya sangat popular di Youtube di mana ia sudah mencecah sehingga 43 juta pengunjung. Kebetulan, kami dapat tahu dia dalam siri menjelajah ke Asia untuk mempromosikan lagunya. Jadi, tanpa membuang masa kami menghubungi syarikat rakamannya, dan selepas dua, tiga hari, mereka bersetuju untuk membuat persembahan di AIM 18,” ujar Pengerusi Bersama, Jawatankuasa Penganjur AIM 18, Adrian Lim.
Antara artis yang akan terlibat sebagai penyampai anugerah pula ialah Dato’ M. Nasir, Search, Nora, Ziana Zain, Fauziah Latiff, Zainal Abidin, Remy Ishak, Neelofa, Tony Eusoff, Sarimah, Ramlah Ram, Syamsul Yusof dan ramai lagi. Selain itu, Dato’ Ramli MS pula akan bertindak selaku Pengarah Muzik pada malam itu.
Jangan ketinggalan untuk menonton malam anugerah AIM 18 pada 12 November 2011 yang akan bersiaran secara langsung dari Stadium Putra Bukit Jalil, bermula dengan Karpet Biru yang akan dikendalikan oleh Awal Ashaari jam 8.30malam dan diikuti Siaran Langsung AIM 18, jam 9.00malam, eksklusif di Astro Ria (Saluran 104).


Siapa Greyson Chance Ni?   Nantikan Entry SEkejap lagi

Sumber







No comments:

Post a Comment