Sejak mengeluarkan kenyataan berbaur cemburu dalam sebuah media tempatan baru-baru ini, pelakon yang popular menerusi watak Cikgu Zakiah dalam drama bersiri, Juvana di TV3, Izreen Azminda kini dihentam teruk oleh segelintir peminat di beberapa buah blog. Ekoran tidak tahan dihentam, pelakon berusia 26 tahun ini akhirnya tampil memberikan penjelasan.
“Mula-mula sekali saya ingin memohon maaf sebab kenyataan saya sebelum ini agak emosional kerana berada dalam keadaan tertekan. Saya tak terfikir panjang apabila mengeluarkan kenyataan tersebut. Jadi sekarang, saya nak bagi penjelasan tentang apa perkara sebenarnya yang berlaku,” ujar Izreen ketika ditemui pada majlis ramah mesra bersama calon-calon Anugerah Skrin 2011 di Pusat Membeli Belah One Utama, petang semalam.
“Saya dihentam teruk sangat di laman-laman maya. Salah saya sendiri sebab tak buat penjelasan sepenuhnya sebelum ini. Saya harap peminat dapat menilai sendiri perkara yang berlaku selepas kenyataan yang saya akan berikan ini.”
Bagi yang masih tidak tahu mengenai kontroversi ini, Izreen menerusi luahannya sebelum ini memberitahu makan hati dan terkilan dengan perangai pelakon, Johan Asa’ari yang tidak mengendahkannya setelah berlakon bersama dengan Fasha Sandha dalam drama Cinta Elysa. Dilihat pada kenyataan Izreen ini seolah-olah memberitahu dunia yang mereka berdua ini sedang bercinta.
Baru-baru ini, Johan menerusi artikel, Johan As’ari: Saya Terasa Dikatakan "Culture-Shock" mengakui dia tidak mempunyai apa-apa hubungan cinta dengan Izreen. Namun, Izreen sebaliknya menafikan dirinya hanya bertepuk sebelah tangan. Pelakon drama ‘Stanza Cinta’ ini dengan tegasnya memberitahu hubungannya dengan Johan atau lebih dikenali dengan panggilan Botak itu memang serius sebagai pasangan bercinta.
“Saya mengaku saya bercinta dengan dia sebelum ini. Kami sudah bercinta sejak hujung bulan Mei lalu iaitu ketika penghujung drama Juvana. Saya tak nak mengaku dan memberitahu kepada masyarakat sebelum ini sebab bagi saya terlalu awal untuk didedahkan. Bagi saya tidak adil buat diri saya kerana kenyataan dia bercanggah sebelum ini di mana dia mengatakan yang kami tidak bercinta. Saya ada bukti SMS dan video mengatakan kami berdua memang bercinta.”
Biarpun pada mulanya agak keberatan untuk menunjukkan video tersebut, namun Izreen akhirnya akur dan menunjukkan sendiri bukti video itu kepada para media yang hadir. Video tersebut memaparkan Johan meluahkan perkataan sayang dan I Love You kepada Izreen.
“Saya ada beberapa video lagi tapi biarlah ia menjadi koleksi peribadi saya saja. Jadi, kepada Johan, lebih baik dia fikir dulu sebelum mengeluarkan apa-apa kenyataan. Bila dia keluarkan kenyataan tidak bercinta, saya rasa tak adil bagi saya. Saya tak gaduh dengan dia cuma saya kecil hati dengan tindakan dia.”
[Sumber] Gua.com
No comments:
Post a Comment